KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Tular di media sosial rakaman video menunjukkan seorang pemandu bas ekspres memandu secara berbahaya di lebuh raya utama, sehingga mencetuskan kemarahan netizen dan perdebatan dalam talian.
Dalam video berdurasi sekitar satu minit itu, bas berkenaan dilihat memotong kenderaan lain menggunakan lorong kecemasan, sebelum bertindak menghimpit masuk ke lorong kanan secara tergesa-gesa, tanpa menghiraukan kenderaan sekeliling.
Lebih mengejutkan, apabila menyedari aksi pemanduannya dirakam, lelaki tersebut membuka tingkap dan menunjukkan isyarat lucah jari tengah ke arah perakam.
Setakat ini, lokasi dan masa sebenar kejadian belum dikenal pasti, dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada syarikat bas atau pihak berkuasa.
Rakaman itu menerima pelbagai reaksi di media sosial. Ramai pengguna mengecam tindakan pemandu yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa penumpang serta pengguna jalan raya lain.
"Tindakan ini boleh membunuh. Nyawa dalam bas bukan satu dua," tulis seorang netizen.
Namun, terdapat juga pandangan berbeza yang menyalahkan cara pemanduan perakam kerana memandu perlahan di lorong kanan.
"Nak bawa perlahan, duduk kiri. Bas pun ada jadual nak kejar," tulis seorang lagi pengguna.
Walau apapun puncanya, kebanyakan pengguna media sosial bersetuju bahawa tindakan pemandu bas melanggar undang-undang jalan raya tidak wajar dan membahayakan.
Post a Comment