Warga Emas Hampir Ditipu Aplikasi Palsu myPesara


Seorang wanita berkongsi pengalaman cemas apabila ibu mentuanya hampir menjadi mangsa penipuan dalam talian melalui aplikasi palsu bernama myPesara, yang didakwa bertujuan membantu golongan pesara.


Menurut wanita tersebut, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila telefon pintar ibu mentuanya kerap menyala walaupun tetapan notifikasi telah dinyahaktifkan. Hasil pemeriksaan lanjut, mereka menemui aplikasi mencurigakan berformat .apk yang tidak boleh dipadam atau dihentikan secara paksa.

"Lepas godek-godek, aku jumpa aplikasi permainan dan satu aplikasi myPesara. Bila disoal, mentua cakap ada orang suruh muat turun untuk mudahkan urusan pesara," katanya.


Lebih membimbangkan, mereka menemui mesej perbualan WhatsApp di mana ibu mentua telah menghantar tangkap layar kata laluan bank dan maklumat kad debit kepada individu yang tidak dikenali. Difahamkan, individu terbabit meminta bayaran RM5 sebagai yuran pendaftaran keahlian.


Tindakan pantas keluarga menghubungi pihak bank berjaya menyelamatkan wang simpanan ibu mentua yang sudah mengalami cubaan transaksi mencurigakan berulang kali, menyebabkan akaun disekat secara automatik oleh sistem keselamatan bank.

"Mujur bank auto sekat sebab terlalu banyak cubaan login. Kalau tak, memang lesap semua duit," katanya lagi.


Wanita itu turut mendakwa aplikasi myPesara palsu berfungsi sebagai pusat kawalan yang boleh memantau setiap aktiviti telefon pintar, menjadikan ia amat berbahaya. Sebagai langkah keselamatan, suaminya melakukan tetapan semula kilang (factory reset) terhadap peranti tersebut.


Luahan itu menarik perhatian ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kerentanan warga emas kepada penipuan siber, terutamanya apabila mereka mudah percaya kepada individu asing yang kononnya menawarkan bantuan.

"Allah lindung mak mentua aku kali ni. Tapi ini bukan kali pertama dia nyaris kena," katanya sambil menzahirkan harapan agar masyarakat lebih cakna melindungi golongan warga emas daripada ancaman scam.


Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai kewujudan aplikasi myPesara palsu tersebut. Orang ramai dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi hanya melalui sumber rasmi seperti Google Play Store atau Apple App Store, dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan melalui mesej atau aplikasi yang tidak disahkan.

 

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post